KPDNHEP Sarawak komited memperkasa pendidikan pengguna

Mogan (lima dari kiri) pada Seminar Memperkasa Pendidikan Pengguna Daerah Asajaya.

KUCHING, 12 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak memaklumkan bahawa Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia ketika ini berada pada peringkat sederhana iaitu 63.1 peratus.

Menurut Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Mogan  Arumugam, indeks yang dicapai kini dikategorikan sebagai tahap sederhana.

“Ia menunjukkan pengguna di negara ini masih belum menghayati dan mempraktikkan hak mereka sebagai pengguna,” katanya  pada Seminar Memperkasa Pendidikan Pengguna Daerah Asajaya di Dewan Tan Sri Datuk Amar Abg Ikhwan Zaini, Asajaya hari ini.

Tambah Mogan, pendidikan kepenggunaan giat diusahakan dalam apa jua medium penyebaran maklumat demi memastikan maklumat sampai kepada masyarakat.

Katanya, seminar pada hari ini merupakan salah satu usaha kementerian untuk memastikan pengguna mendapat pendidikan kepenggunaan yang sewajarnya terutama masyarakat di luar bandar.

“Masyarakat perlu menjadi pengguna berhemah, bermaklumat selain mempelajari kemahiran serta pengetahuan baharu mengubah tabiat dan amalan harian mereka.

“Program pendidikan kepenggunaan penting bagi mendidik pengguna membuat keputusan tepat dan pendidikan dapat memberi kesedaran serta perubahan gaya hidup pengguna,”ujar Mogan. — DayakDaily