KPDNHEP Sarawak adakan tinjauan sempena SHMMP HRP 2022

Mogan (kanan) melakukan tinjauan harga barang di Mydin Hypermarket Vista Tunku.

KUCHING, 26 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meninjau pematuhan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP) 2022.

Ketua Pegawai KPDNHEP Sarawak Mogan Arumugam pada hari ini telah mengadakan walkabout di Mydin Hypermarket, Vista Tunku.

SHMMP HRP 2022 mula berkuatkuasa hari ini hingga 6 Mei 2022.

Skim harga maksima merupakan komitment KPDNHEP untuk memastikan Keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Menurut kementerian, ini adalah kerana permintaan ke atas barangan tertentu dijangka meningkat menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang bakal disambut pada 3 Mei ini.

Dalam pada itu, KPDNHEP telah melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam pada 5 Februari 2022.

Katanya, ia sedang berkuatkuasa sehingga 5 Jun 2022 sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

Sebanyak 18 jenis barangan (bagi negeri Sarawak) akan ditetapkan harga maksimum semasa pelaksanaan SHMMP HRP 2022 yang melibatkan kategori hasil laut, barangan kering, sayuran dan daging. — DayakDaily