KPDNHEP rampas rokok tiruan bernilai RM3.38 juta

Pegawai Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Putrajaya memeriksa rokok tiruan dalam satu operasi di Pelabuhan Klang, Selangor.

PUTRAJAYA, 22 Okt: Rokok tiruan dianggarkan bernilai RM3.38 juta dirampas KPDNHEP Putrajaya dalam satu operasi membanteras pengimportan dan pengedaran rokok tiruan di Pelabuhan Klang semalam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman mendedahkan operasi tersebut dilakukan susulan maklumat dan risikan yang dilakukan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya berhubung kegiatan tersebut.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan bersama wakil pemilik cap dagang jenama “John”, terdapat sejumlah 520,000 kotak rokok yang disyaki tiruan disimpan di salah satu kontena yang terdapat di pelabuhan tersebut iaitu dalam kes ini pelabuhan Klang.


“Siasatan awal yang kita jalankan juga mendapati kesemua rokok tersebut diimport dari luar negara oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor dan disimpan sementara di pelabuhan tersebut,” menurut beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Wakil daripada syarikat memberikan alasan rokok tersebut adalah untuk tujuan dieksport semula ke luar negara ketika pemeriksaan dilakukan terhadap syarikat yang dipercayai memiliki rokok tiruan tersebut.

Pegawai Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Putrajaya memeriksa rokok tiruan dalam satu operasi di Pelabuhan Klang, Selangor.

Bagaimanapun, ujar Iskandar Halim, hasil pemeriksaan awal yang dilakukan terhadap ciri fizikal kotak rokok tersebut agak meragukan dan ia disyaki untuk pasaran tempatan.

“Kes ini kita siasat dibawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

“Kes ini juga akan disiasat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.”

Iskandar Halim dalam pada itu turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

Syarikat atau individu tersebut, ujarnya, harus agar bersikap lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek milik orang lain. — DayakDaily