KPDNHEP rampas 651 unit serbuk pencuci jenama TOP tiruan

Image by Frank Habel from Pixabay

KUCHING, 23 Julai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam merampas sebanyak 651 unit serbuk pencuci jenama TOP tiruan pada satu serbuan di sebuah premis kediaman di Cheras, Kuala Lumpur.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 4,882.50.

Katanya, operasi dilakukan hasil maklumat yang diterima daripada pengadu yang juga wakil pemilik cap dagang berdaftar TOP berkaitan penjualan barang-barang tiruan melalui transaksi dalam talian di media sosial Facebook.


“Modus Operandi peniaga barang tiruan ini ialah dengan mengiklankan produk serbuk pencuci pakaian jenama TOP tiruan dengan harga yang lebih murah bagi menarik perhatian pembeli.

“Pengadu berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran selepas membuat pesanan dalam talian.

“Peniaga barang tiruan tersebut telah membekalkan alamat untuk mengambil barangan yang dipesan. Rentetan dari urus niaga tersebut pengadu telah membuat perbandingan dengan serbuk pencuci TOP yang asli.

“Setelah mengenal pasti produk yang dibeli adalah tiruan, pengadu telah membuat aduan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk tindakan yang selanjutnya,”katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambah Iskandar, hasil daripada verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati serbuk pencuci tersebut disyaki tiruan.

Menurut beliau, perbandingan serbuk pencuci tiruan dan asli mendapati dari segi pembungkusan serbuk pencuci tiruan yang berkualiti rendah dan terdapat kesalahan ejaan pada kotak pembungkusan.

Kesemua barang-barang tersebut telah di rampas untuk siasatan lanjut dan disiasat dibawah seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.—DayakDaily