KPDNHEP: Lesen dibatal jika terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi

A stock image of a customer checking out at the cashier. Photo credit: Pixabay

KUCHING, 17 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus melaksanakan tindakan pengesyoran pembatalan lesen ke atas pemborong dan peruncit yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman, ia bagi memastikan tindakan penguatkuasaan untuk membendung salah laku tersebut memberi impak secara lebih komprehensif.

“Sejak tahun 2017 hingga 2019, sebanyak 14 buah syarikat pelesen barang kawalan telah dibatalkan lesen barang kawalan.


“Ini menunjukkan keseriusan Bahagian Penguatkuasa dalam menangani aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di peringkat akar umbi demi menyelamatkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan barangan kawalan berjadual dan bersubsidi.

Katanya, amaran diberikan kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tersebut bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, Iskandar berkata isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri dari negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura merupakan salah satu perkara utama yang menjadi perhatian KPDNHEP.

“Walaupun ini bukanlah suatu isu yang mudah ditangani, namun Bahagian Penguatkuasa tetap meneruskan tindakan pro-aktif dan tegas dalam membendung isu penyelewengan barang kawalan ke negara sempadan melalui penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Antara langkah yang diambil ialah mengadakan operasi secara berterusan, menjalankan jaringan kerjasama antara agensi penguatkuasaan sempadan serta tindakan secara ‘due diligence’ dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan,” kata Iskandar.

Ujar beliau lagi, berdasarkan laporan statistik dari tahun 2016 hingga Oktober 2020, kes yang dihasilkan oleh Bahagian Penguatkuasa bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan melibatkan barang-barang kawalan bersubsidi adalah sebanyak 2,212 kes.

“Nilai rampasan bagi keseluruhan kes tersebut adalah sebanyak RM53,691,109.

“Manakala bagi kes-kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang diterima dari serahan agensi luar pula adalah sebanyak 671 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM10,422,814.25,” jelas beliau. — DayakDaily