KUCHING, 8 Sept: Dianggarkan sekitar 1,000 hingga 1,500 set bekalan RTK Antigen (ujian kendiri) dijangka tiba di farmasi-farmasi di sekitar Sri Aman dalam dua atau tiga hari ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak berkata, ini bakal menambah bekalan yang agak terhad pada masa ini.
“Sebanyak 956 set kit ujian cepat (RTK) telah tiba di farmasi sekitar Sri Aman manakala 1020 set lagi di farmasi sekitar Betong pada awal bulan September dengan harga jualan RM19.90 setiap satu set.
“Sementara itu, stok antara 1,000 hingga 1,500 set dijangka tiba dalam dua atau tiga hari, berdasarkan pesanan pihak farmasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Al Redzamani, farmasi di Sri Aman tidak mempunyai masalah untuk mematuhi harga yang telah diwartakan iaitu RM19.90 setiap set yang berkuat kuasa pada 5 September.
Katanya, pihak pembekal dan pemborong serta farmasi sedang dalam proses menyesuaikan diri dengan harga yang telah diwartakan.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” ujar beliau. — DayakDaily