KPDNHEP lanjutkan tempoh perwartaan untuk membantu pengusaha bas terus beroperasi

'Rage Against the Machine' art installation by Ernest Zacharevic. Image by Hilmi IK from Pixabay

KUCHING, 31 Mac: Tempoh perwartaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 bagi membantu para pengusaha bas dan semua penyewa yang terlibat di bawah Akta Sewa Beli 1967 dilanjutkan bermula April sehingga Jun 2021.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi satu kenyataan semalam berkata, ini mengambil maklum tentang cabaran yang dihadapi oleh pengusaha bas yang terbeban dengan isu hutang pembiayaan bas akibat daripada pandemik Covid-19.

Katanya, perundangan ini memberikan pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian di bawah Akta Sewa Beli bagi suatu tempoh yang ditetapkan demi kelangsungan hidup.


“Ini telah banyak membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu bermula April sehingga September 2020.

“Berikutan penularan Covid-19 yang semakin meningkat di akhir tahun 2020, tempoh perundangan ini telah dilanjutkan berkuatkuasa mulai Januari sehingga Mac 2021.

“Atas dasar keperihatinan kerajaan dan sensitiviti kepada kesan Covid-19, perlanjutan tempoh perundangan telah ditambah bermula April sehingga Jun 2021,”menurut kenyataan itu.

KPDNHEP menyarankan kepada pengusaha-pengusaha bas yang terkesan dan bagi meringankan beban pembiayaan bas dan hutang sewaan agar dapat tampil dan hadir berbicang dengan institusi kewangan yang terlibat dalam Perjanjian Sewa Beli.

Ia berhubung dengan kelayakan moratorium, penstrukturan semula pembayaran ataupun penyusunan semula pembiayaan kenderaan bagi mengelakkan pemilikan semula kenderaan berlaku apabila pembayaran ansuran tidak dibuat. — DayakDaily