Semua menteri dari Umno terus kekal dalam kabinet

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

KUCHING, 31 Mac: Semua menteri dari Umno akan terus kekal berada di dalam kabinet walaupun keputusan perhimpunan agung parti itu telah memutuskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesepakatan telah dicapai dalam satu perjumpaan bersama menteri-menteri itu pada Isnin lepas (29 Mac).

“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.


“Atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) akan terus kekal berada di dalam kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi.

Justeru katanya, perletakan jawatan mereka dari kabinet akan menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan bahawa kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” ujar Muhyiddin.

Beberapa orang menteri dari Umno memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini. — DayakDaily