KPDNHEP keluarkan Kompaun RM64,050 sepanjang perlaksanaan SHMMP HRP 2021

Kelihatan pegawai pemeriksaan sedang melaksanakan pemeriksaan terhadap harga barangan ketika perlaksanaan SHMMP HRP 2021 di salah sebuah pasaraya.

KUCHING, 22 Mei: Kompaun sebanyak RM64,050 dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021 sejak 21 April lalu.

Ketua Pegawai PenguatKuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, kompaun berkenaan melibatkan 454 kes dengan nilai sitaan sebanyak RM 52,897.21 hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 51,138 premis perniagaan di seluruh negara.

“Daripada 454 tindakan undang-undang telah dikenakan sebanyak 91 kes (0.18%) diambil tindakkan kerana menjual melebihi harga maksimum, 186 kes (0.36%) kerana gagal menggunakan tanda harga khas dan 177 kes (0.35%) kerana tiada tanda harga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan sepanjang perlaksanaan SHMMP HRP 2021 mendapati pematuhan yang tinggi (99%) oleh peniaga secara keseluruhannya yang mana barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang telah ditentukan Kerajaan.

Malah katanya, terdapat sesetengah barangan harga terkawal didapati dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan di sebab kerana persaingan yang sihat selain faktor penawaran dan permintaan seimbang di pasaran.

Penentuan harga maksimum yang bersesuaian dengan paras harga pasaran semasa juga telah membantu pelaksanaan serta kelancaran perjalanan skim tersebut sejak 21 April hingga 20 Mei lepas.

Beliau berkata, SHMMP HRP 2021dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan 12 jenis barang yang telah berkuatkuasa pada 21 April hingga 5 Mei melibatkan empat kategori barangan iaitu ayam, telur ayam, daging serta hasil laut.

“Berdasarkan pemantauan dan maklum balas orang ramai, Kementerian akan sentiasa membuat penambahbaikan bagi memastikan skim ini akan terus relevan dan memberi manfaat kepada semua.

Selain itu, Kementerian juga akan terus bekerjasama dan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri terutamanya industri baru bagi memastikan kejayaan pelaksanaan skim ini,” katanya.

Azman berkata,kejayaan pelaksanaan SHMMP HRP 2021 telah mendorong Kementerian untuk meneruskan pelaksanaan SHMMP untuk Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 yang bakal disambut dalam masa terdekat.

Ujarnya, satu pengumuman berhubung senarai barangan dan harga maksimum yang ditetapkan bagi perayaan akan diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexender Nanta Linggi pada Isnin ini (24 Mei).

“Kementerian juga berharap pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan datang juga akan memberi faedah yang positif kepada peniaga dan pengguna,” katanya. — DayakDaily