Penternak ayam ditangkap terlibat dadah di Kg Stass, Bau

Suspek bersama dadah yang dirampas.

BAU, 22 Mei: Seorang penternak ayam ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah di Kampung Stass, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 20 tahun itu ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah sekitar jam 3.30 petang.

Jelasnya, semasa pemeriksaan dilakukan telah menjumpai satu peket plastik kecil lutsinar yang berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu di atas lantai bilik tidur.


Susulan itu suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek daripada soal siasat juga mengaku mengambil dadah sejak enam tahun lepas untuk berseronok serta pengaruh rakan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily