KPDNHEP Kapit senarai 17 jenis barangan kawalan sempena Hari Krismas

Redzamani (kanan) ketika melakukan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Krismas 2020 di pekan Kapit

KAPIT, 23 Dis: Sebanyak 17 jenis barangan disenaraikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kapit dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Krismas 2020 yang bermula semalam hingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Kapit, Al Redzamani Abdul Razak, berkata Walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan penularan wabak COVID-19, kawalan harga ketika musim perayaan wajar dilaksanakan memandangkan permintaan yang tinggi terhadap barang-barang keperluan harian tertentu bagi sambutan perayaan terbabit.

Katanya, tiada jaminan bahawa peningkatan harga tidak akan berlaku di pasaran walaupun bekalan barangan keperluan semasa adalah mencukupi.


“Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Tahun 2020 dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan untuk memberi ruang kepada peniaga bagi memulihkan perniagaan mereka setelah melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tanpa menjejaskan kepentingan pengguna ataupun peniaga.

“Pelaksanaan harga maksimum ini juga bertujuan untuk memastikan harga barangan terpilih adalah terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan,”katanya pada sidang media selepas mengumumkan harga maksimum barangan terkawal SHMMP Hari Krismas Tahun 2020, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Redzemani berkata harga barangan kebiasaannya adalah lebih terkawal kerana model perniagaan dan persaingan yang berbeza serta tahap ‘economies of scale’ yang lebih baik.

Katanya, bagi SHMMP Hari Deepavali lepas di bandar Kapit, Song dan Belaga, 17 barangan yang ditentukan harga siling termasuk Ayam Hidup, Ayam Standard, Ayam Super, Ayam Belanda Import, Ayam Tua Hidup, Kepak Ayam, Daging Kambing Biri-Biri Import Bertulang, Telur Ayam(Gred A, B dan C), Lada Benggala Hijau, Tomato, Kubis Bulat Import, Lobak Merah, Ubi Kentang Import China (RM 4.00 sekilogram) dan Daging Babi perutdaging & lemak).

“Kesemua barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat termasuk di Kapit, Song dan Balaga oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran.
Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga, “katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP turut mempertingkatkan pemantauan harga melalui Pegawai Pemantau Harga yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh bahagian Kapit.

Pada masa sama beliau turut menasihati Pengguna untuk tidak membuat pembelian berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada harga barangan.

Manakala, pengeluar, pemborong dan peruncit pula diingatkan supaya tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan Skim ini selain perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu sepanjang perjalanan skim tersebut.-DayakDaily