Kit ujian pantas antigen Covid-19 barangan kawalan berkuatkuasa 1 Dis

Kit ujian pantas antigen Covid-19. Foto Fail

KUCHING, 1 Dis: Kit ujian pantas antigen Covid-19 diwartakan sebagai barangan kawalan berkuatkuasa hari ini (1 Dis).

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, ia diwartakan sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan.

“Kementerian mengambil maklum akan keperluan kit ujian pantas antigen Covid-19 oleh Keluarga Malaysia sebagai salah satu langkah awal pencegahan penularan pandemik ketika ini.


“Buat masa ini, bekalan keperluan ini didapati mencukupi di pasaran dan sehingga kini tiada aduan berkenaan kekurangan bekalan diterima oleh pihak KPDNHEP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman, bekalan ini bukan sahaja boleh diperolehi di farmasi dan fasiliti kesihatan sahaja.

Malah katanya, ia boleh dibeli di premis-premis lain yang telah berdaftar seperti di pasaraya besar, pasaraya, kedai-kedai serbaneka dan stesen minyak.

KPDNHEP tegas beliau, memberikan amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan kit ujian pantas antigen Covid-19 bagi mengelakkan tindakan tegas diambil oleh pihak kementerian.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga yang berkaitan, boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut melalui saluran Whatsapp 019-279 4317, portal e-aduan.kpdnhep

Saluran lain ialah pusat panggilan 1-800-886-800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Ez ADU KPDNHEP dan pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245. — DayakDaily