KPDNHEP: Harga runcit ayam standard turun

Image by Free-Photos from Pixabay

KUCHING, 19 Julai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan harga runcit ayam standard telah mula menunjukkan trend penurunan di pasar basar dan pasaraya dalam tempoh 1 hingga 17 Julai 2020.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim menerusi satu kenyataan berkata, trend ini adalah selari dengan penurunan harga ladang ayam hidup.

“Penurunan harga ladang ayam hidup pada minggu kedua Julai antara RM4.50 hingga RM5.40 per kilogram daripada minggu pertama RM5.20 hingga RM6.10 per kilogram.


“Harga ayam standard pada Julai 2020 adalah antara RM8 hingga RM8.50 per kilogram dan telah menurun pada minggu kedua dengan harga RM7.60 hingga RM7.90 per kilogram.

“KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran supaya pengguna dapat memperolehi ayam dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Menurut Iskandar, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan berhubung kenaikan harga ayam ekoran daripada aduan yang diterima daripada orang ramai pada 15 Jun, 2020 lepas.

Dalam tempoh tersebut katanya, lapan kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga- peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut.

Lapan kes ini melibatkan empat peruncit di Pasar Awam Melaka dan empat pemborong ayam iaitu satu di Melaka dan tiga lagi di Kuala Lumpur.

“Semua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,”ujar beliau.-DayakDaily