KPDNHEP: Harga ayam tidak berubah

Image by Free-Photos from Pixabay

PUTRAJAYA, 10 Julai: Kementerian telah menerima maklumat berhubung aduan orang ramai yang telah menyatakan berlakunya kenaikan harga ayam di peringkat peruncit.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), berdasarkan maklumat tersebut, suatu pemantauan telah dilaksanakan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) untuk mengenal pasti peringkat rantaian pembekalan yang memulakan punca kenaikan tersebut serta mengesan sekiranya wujud aktiviti pencatutan.

Arahan berhubung pemeriksaan tersebut telah dikeluarkan pada 18 Jun 2020 kepada seluruh KPDNHEP Negeri untuk melaksanakan pemeriksaan di peringkat Pasar-Pasar Awam dan pembekal kepada peruncit di Pasar Awam yang dikesan telah menjual harga melebihi daripada harga maksimum yang telah ditetapkan pada Skim Hard Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang lepas.

Peruncit atau pembekal kepada peruncit yang didapati menjual harga RM7.50 semasa pemeriksaan dilaksanakan akan dikemukakan notis bertulis di bawah Sek 21 AKHAP 2011 untuk mengesan punca kenaikan harga yang berlaku, mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos yang dijual bagi suatu tempoh bagi tujuan mengesan aktiviti pencatutan.

Pemeriksaan juga dilaksanakan di peringkat pemborong utama dan peladang di bawah kawalseliaan KPDNHEP Negeri masing- masing.

Secara keseluruhannya sehingga 30 Jun 2020, sebanyak 353 premis telah diperiksa yang terdiri daripada 280 peruncit, 50 pemborong dan 23 pengeluar dan penternak ayam.

Berdasarkan jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 310 premis telah dikemukakan notis di bawah Sek 21 AKHAP 2011 bagi mendapatkan maklumat awal kenaikan harga yang berlaku dan 286 daripada jumlah notis tersebut akan diteruskan pemeriksaan untuk mendapatkan perincian maklumat bagi tujuan penyediaan analisa pencatutan.

Sehingga 6 Julai 2020, sebanyak 148 daripada 310 peniaga telah memberi maklum balas notis berhubung maklumat harga yang terdiri daripada 126 peruncit, 18 pemborong dan empat pengeluar. Hasil analisa awal maklumat tersebut mendapati memang berlaku kenaikan harga ayam bagi tempoh 4 Jun 2020 hingga 19 Jun 2020.

Hasil analisa awal daripada maklumat tersebut juga menunjukkan berlakunya kenaikan harga ayam di peringkat 128 peniaga yang melibatkan 109 peruncit, 17 pemborong dan 4 peladang.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 71 premis menjual dengan kenaikan harga di antara RM0.10 hingga RM1 manakala 39 premis menjual dengan kenaikan harga di antara RM1.10 hingga RM1.50.

Berdasarkan data analisa tersebut mendapati sebanyak 27 peruncit menjual ayam dengan harga setiap satu kilogram (1kg) di antara RM9.50 hingga RM10, 26 peruncit menjual dengan harga di antara RM9 hingga RM9.40 dan 58 peruncit menjual dengan harga di bawah RM9.

Kenaikan harga ayam di peringkat pemborong berlaku di antara RM0.30 hingga RM1.10. Harga ayam di peringkat pemborong juga adalah di antara RM6.50 hingga RM8.50 manakala di peringkat peladang adalah di antara RM5.70 hingga RM6.

Selain itu, sebanyak 111 daripada 286 notis telah diberi maklumbalas oleh peniaga berhubung dengan maklumat perincian barangan bagi penyediaan analisa pencatutan.

Hasil daripada 111 analisa pencatutan yang disediakan tersebut juga mendapati sebanyak lapan analisa menunjukkan berlakunya pencatutan yang melibatkan empat di peringkat peruncit bagi Pasar Awam di Melaka dan empat pemborong iaitu satu di Melaka dan tiga di Kuala Lumpur akan diteruskan siasatan lanjut di bawah pencatutan.

Walau bagaimanapun, berdasarkan sumber data dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MOA menunjukkan harga ayam bagi minggu 29 Jun 2020 hingga 5 Julai 2020 telah menurun di antara RM5.90 hingga RM6.00 di peringkat ladang, RM5.99 hingga RM8.99 di peringkat borong dan RM8.00 hingga RM9.50 di peringkat runcit bagi Semenanjung Malaysia, manakala harga ayam di Sabah dan Sarawak bagi ketiga-tiga peringkat tersebut masih kekal sepertimana minggu yang sebelum daripada Mac 2020 lagi.

Secara keseluruhannya, sehingga 6 Julai 2020, sebanyak 5,177 notis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk memantau aktiviti kenaikan harga barangan dan caj bagi perkhidmatan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,710 notis telah dikeluarkan di sepanjang tempoh PKP/PKPB/PKPP ini mulai 18 Mac 2020 hingga 6 Julai 2020 untuk memantau maklumat harga dan kenaikan harga barangan/caj bagi perkhidmatan di pasaran.

Daripada jumlah notis tersebut, sebanyak 1,273 notis adalah melibatkan perincian maklumat untuk penyediaan analisa pencatutan dan mengesan berlakunya aktiviti tersebut ataupun sebaliknya.—DayakDaily