KPDNHEP ambil pendekatan baharu tangani isu harga ayam

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 13 Sept: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pendekatan baharu bertujuan untuk membolehkan peniaga menyemak harga barang.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu juga membolehkan peniaga menyemak kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah.

“Pendekatan baharu ini membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga di peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus pengeluar dan penternak ayam di lokasi berlakunya kenaikan harga.

“Di samping itu, pendekatan ini juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nanta, pendekatan diambil setelah kementerian mengambil maklum laporan di media sosial berhubung harga ayam di pasaran sejak kebelakangan ini.

Katanya, kementeriannya memandang serius situasi yang sedang berlaku khususnya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan asas pengguna.

Jelas beliau, ianya memberi impak yang terus kepada kos sara hidup rakyat terutamanya dalam fasa pandemik Covid-19.

“Adalah diharapkan, peniaga di semua peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak dan berterusan.

“Sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum dan pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat,” ujar beliau.

Tambah Nanta, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel yang memunipulasi harga di semua peringkat rantaian.

Di Sarawak, katanya, hasil pemantauan mendapati harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56 sekilogram manakala harga paling tinggi adalah RM9.80 sekilogram yang dijual di Central Market, Sarikei.

“Harga paling rendah adalah RM7.50 sekilogram yang dijual di Everwin Supermarket Mukah,” kata Nanta. — DayakDaily