KPDN serbu gudang diesel haram di Sri Aman

Anggota operasi melakukan pemeriksaan dan siasatan di gudang tersebut.

SRI AMAN, 12 Dis: Hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sri Aman dan PDRM, sebuah gudang yang dijadikan stor penyimpanan diesel bersubsidi telah diserbu.

Serbuan yang dilakukan pada Isnin telah menemui sejumlah 15,000 liter minyak diesel dan beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan tersebut.

Menurut KPDN seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30an telah ditahan bagi membantu siasatan.


“Dua buah lori jenis Prime Mover, tangki simpanan kapasiti 1000 liter sebanyak 15 unit, dan beberapa peralatan lain dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM137,550.

“Berdasarkan maklumat, sindiket tersebut dikatakan menggunakan dua buah lori Prime Mover bagi membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Sri Aman Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, diesel yang diselewengkan kemudiannya akan dibawa ke gudang penyimpanan tersebut untuk diletakkan ke dalam tangki simpanan sebelum dipindahkan semula ke sebuah lori tangki lain dan dijual kepada pihak ketiga.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan penalti iaitu bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang kedua pula boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Selain itu, bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta.

KPDN Sri Aman ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.

Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang- undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 serta e-mel e-aduan@kpdn.gov.my dan Aplikasi EZ ADU KPDN.

Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui pusat arahan penguat kuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau melalui WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 serta Pejabat KPDN Sri Aman 083-323836. — DayakDaily