Kos penerbitan tinggi cabaran memartabatkan industri perfileman Asia Pasifik

Ham (tiga dari kanan) sedang berbincang ketika sesi meja bulat bersama media.

KUCHING, 12 Jan: Kos yang amat tinggi bagi menghasilkan rancangan televisyen menyukarkan syarikat media dan stesen penerbitan menguasai pasaran lumayan industri media Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai US$400 bilion.

Ketika ini, purata kos membuat sebuah rancangan televisyen berbentuk filem animasi sudah mencecah US$1 juta atau lebih kuran RM4 juta, kata etua pegawai eksekutif Global Creative Media Agency, Adam Ham.

“Manakala sebuah rancangan televisyen berbentuk filem ‘feature’ dengan kesan visual pula dianggarkan boleh mencecah US$10 juta atau RM40juta,” katanya ketika Sesi Meja Bulat Media bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Industri bersempena Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-23 di sini, hari ini.


Juga menyertai sesi itu ialah CEO Cignal TV, Jane Jimenez-Basas dan naib-presiden Yolanda Yollie R Viola dari Filipina, naib presiden JTBC Kim Yongdal (Korea), presiden FTV Dorothy M Hung (Taiwan), CEO BECi Corporation M L Rudeejanok Kritakara (Thailand), pengerusi eksekutif Today Lam Chi Thien (Vietnam) dan juru perunding akademik Oxford College of Business Dr Punchi Nilame Meegaswatte (Sri Lanka).

Ham (tengah) bergambar kenangan bersama peserta lain selepas selesai sesi meja bulat bersama media.

Ham berkata kos yang tinggi terbabit menjadikan penghasilan rancangan televisyen bagi rantau Asia satu projek yang agak berisiko bagi stesen televisyen dan syarikat media di rantau ini.

“Ia juga akan memerlukan banyak sokongan dan kerjasama dengan pelbagai pihak supaya risiko terbabit boleh dikongsikan,” katanya dalam sesi bersama syarikat media antarabangsa Global Creative Media Agency yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata sekiranya stesen televisyen dan syarikat media tempatan di negeri ini dapat menjadi hub menghasilkan rancangan televisyen dan boleh menguasai hanya empat peratus sahaja daripada pasaran US$400 bilion industri media Asia Pasifik, jumlah terbabit sudah cukup lumayan bagi negeri ini.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha kerajaan Sarawak menjadikan bandaraya Kuching sebagai tuan rumah kepada ATA, kerana persekitaran baik bandaraya ini yang dapat dinikmati peserta anugerah terbabit sejak tiba di negeri ini dua hari lalu.

“Dengan persekitaran baik ini, minda mereka (peserta) menjadi lebih bebas. Di siang hari, mereka lebih mudah berjumpa orang lain bagi makan tengahari atau bersiar di tepian pantai bagi menjalinkan hubungan persahabatan seperti ketika Festival Filem Cannes,” katanya.

Bagaimanapun ATA berbeza dengan Festival Filem Cannes di Perancis yang disertai pemain besar industri media televisyen dari seluruh dunia dan pesertanya juga amat sibuk serta mempunyai jadual ketat.

“Tetapi orang dari luar yang menyertai anugerah ini atau festival lain di negeri ini seperti Pesta Muzik Rainforest Sedunia dan Anugerah Filem Asia akan ada sedikit masa kelapangan dan juga ruang bagi mereka berfikir serta berbincang untuk menjalinkan persahabatan,” katanya.

Selain itu, beliau mengakui untuk mereka menyertai Festival Filem Cannes di Perancis adalah amat mahal perbelanjaannya dengan purata seorang peserta sahaja akan membelanjakan sebanyak RM20,000 ketika menghadiri festival itu.

Katanya ini menyebabkan hanya pemain besar dalam industri media dan televisyen  seluruh dunia dapat menyertai Festival Filem Cannes manakala syarikat televisyen dan media yang baharu dan kecil tidak mampu menghantar peserta ke festival terbabit.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Sarawak terus menjadi penyelesaian kepada kekurangan-kekurangan terbabit dan terus berusaha untuk menjadi tuan rumah bagi festival-festival lain. — DayakDaily