Kontraktor lesap RM20,200 ditipu lelaki kononnya boleh bebaskan tahanan

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 22: Akibat terpedaya dengan tawaran membebaskan tahanan di sebuah penjara di sini, seorang kontraktor kerugian sebanyak RM20,200.

Berdasarkan laporan diterima semalam, lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan telah didatangi oleh seorang lelaki pada 12 Januari, dua tahun lepas (2017).


Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata semasa pertemuan itu mangsa kemudian memberitahu suspek bahawa dia mencari sesiapa yang boleh menguruskan pembebasan tahanan di penjara.

Katanya, mangsa memberitahu suspek bahawa dia ingin membebaskan rakannya warga China yang dipenjarakan atas kesalahan jenayah di Miri.

“Suspek seterusnya memberitahu mangsa kononnya dia mengenali orang yang boleh menguruskan pembebasan tahanan tersebut.

“Seminggu selepas itu, suspek telah menghubungi mangsa dan meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM20,200 untuk proses pembebasan tahanan,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, pada hari sama, mangsa telah membuat enam kali transaksi pembayaran sebanyak RM20,200 ke dalam akaun bank suspek.

Namun katanya, selepas pembayaran dilakukan, sehingga kini tiada khabar berita diterima daripada suspek.

“Mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily