Komuniti maritim Sarawak patuh 100 peratus arahan PKP, kata Laksamana Maritim Pertama

Wakil maritim Sarawak(dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima.

KUCHING, Apr 28: Komuniti maritim Sarawak menunjukkan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 100 peratus.

Menurut Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan, tiada tangkapan dibuat oleh Maritim Sarawak setakat ini sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

“Sepanjang pelaksanaan OP COVID di perairan Negeri Sarawak, Maritim Malaysia telah melakukan sebanyak 1,714 pemeriksaan ke atas kapal dan bot.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat oleh Maritim Negeri Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Robert, operasi bukan sahaja bertujuan untuk memastikan pematuhan PKP, malah ia juga bertindak sebagai benteng kepada kemasukan warga asing secara haram ke Sarawak.

Katanya, ia sekaligus mengekang risiko penularan wabak Covid-19 memasuki Sarawak melalui jalan laut.

Dalam pada itu kata Robert, Maritim Sarawak juga melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyampaikan sumbangan keperluan harian.

Menurut beliau, sumbangan berbentuk beras, tepung, mi segera, gula, telur dan minyak masak diberikan kepada dua Kampung Angkat Maritim iaitu Kampung Muara Tebas dan Kampung Selabat.

Lebih 100 keluarga di kedua-dua kampung telah menerima manfaat tersebut.

“Inisiatif ini bukan sahaja dilaksanakan di Kuching, akan tetapi Zon Maritim Tanjung Manis, Zon Maritim Bintulu dan juga Zon Maritim Miri turut melaksanakan penyampaian sumbangan kepada keluarga yang memerlukan di daerah masing-masing,” katanya.

Robert turut memaklumkan bahawa Maritim Sarawak hari ini telah melakukan kerja kerja sanitasi ke atas aset-aset yang terdapat di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak.—DayakDaily

Bot maritim melakukan tinjauan di perairan Sarawak.