KM cadang membeli kapal terbang kargo, caravan untuk mempercepatkan pengangkutan makanan segar

Rancangan khas Bersama Ketua Menteri Sarawak yang disiarkan secara langsung RTM di TV1 baru-baru ini.

KUCHING, Feb 15: Sarawak bercadang membeli kapal terbang kargo atau caravan bagi mengangkut buah-buahan dan sayur-sayuran dari kawasan pertanian di luar bandar negeri ini dengan lebih cepat ke pasaran.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian dan ini terutamanya hasil pertanian dari kawasan Agropolitan dan kawasan tanah tinggi di luar bandar negeri ini.

“Sebenarnya saya sudah berunding hendak membeli kapal terbang kargo atau caravan untuk membawa buahan dan sayuran dari kawasan luar bandar khususnya dari Sadok Agripolitan dan kawasan tanah tinggi ke pasaran,” katanya ketika menghadiri menghadiri rancangan khas Bersama Ketua Menteri Sarawak di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching, di sini, pada malam Selasa. Program tersebut disiarkan secara langsung oleh RTM di TV1.


Abang Johari tidak mendedahkan butiran mengenai pembelian terbabit tetapi menegaskan sudah tiba masanya negeri ini mengunakan teknologi canggih termasuk kapal terbang bagi mempercepatkan pemasaran produk pertaniannya.

Ini kerana negeri ini sudah mempunyai sistem pembayaran perniagaan secara elektronik iaitu Sarawak Pay dan petani tempatan boleh mengunakan sistem terbabit bagi menjual hasil pertanian dengan pantas dan menerima bayarannya serta-merta tanpa berhutang.

“Saya tahu ketika ini kita di negeri ini tiada kelajuan Internet yang cepat khusunya di luar bandar bagi mengunakan Sarawak Pay; sebab itu saya memperuntukan sebanyak RM1 bilion manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi menambahbaik perkara itu,” katanya.

Beliau berkata peruntukan terbabit bagi memudahkan penggunaan teknologi gentian kaca dan ‘cloud computing’ dan juga membina lebih banyak menara telekomunikasi termasuk di luar bandar yang akan bermula tahun ini selepas kerajaan negeri merancangnya tahun lepas. — DayakDaily