KKM gerak semua kemudahan dan keupayaan bendung Covid-19

File photo of the Sarawak General Hospital (SGH) in Kuching.

KUCHING, 19 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menambah kapasiti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan Covid-19 (PKRC) kepada 11,076 katil berbanding 6,795 katil pada 6 Oktober 2020.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, jumlah itu termasuk 3,505 katil di 43 hospital Covid-19 dan 7,571 katil di 46 PKRC seluruh negara.

“Berbanding pada 6 Oktober lepas, terdapat 2,820 katil di hospital dan 3,975 katil di PKRC.


“Kadar penggunaan katil Covid-19 di seluruh negara kini masih terkawal, iaitu pada 45 peratus di hospital dan 37 peratus di PKRC.

“Jumlah kes aktif hari ini ialah 6,323 kes, manakala kes sembuh 245 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagi Sabah tambah Dr Adham, KKM telah menyediakan katil sebanyak 5,276 khusus untuk pesakit Covid-19.

Katanya, ini adalah peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding bilangan katil pada 5 Oktober 2020 dalam usaha memastikan kesiapsiagaan adalah pada tahap optima di mana 16 PKRC kini sedia beroperasi di Sabah.

“Bagi meningkatkan kesiapsiagaan di Sabah, KKM telah melaksanakan mobilisasi petugas kesihatan ke hospital, klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah dan juga petugas lapangan.

“Mobilisasi ini termasuk 140 pegawai perubatan dan 225 penolong pegawai perubatan,” ujar Dr Adham.

Selain itu katanya, KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk menyediakan Hospital Medan yang menempatkan 100 katil.

Kerjasama itu juga melibatkan usaha membawa sampel ujian Covid-19 ke Semenanjung dan menerbangkan 75,000 kit ujian RTK-Antigen serta pelbagai peralatan ke Sabah.

“Di dalam membuat analisis dan perancangan strategik yang pragmatik, KKM tidak semata-mata menggunakan titik R-naught.

“Tetapi secara komprehensif pakar-pakar KKM di pelbagai peringkat meneliti semua aspek berkaitan, termasuk kadar kebolehjangkitan, kadar kematian, kadar penggunaan katil, ciri-ciri kluster dan nilai korelasi spatio,” katanya.-DayakDaily.