Hospital ‘makeshift’ diwujudkan di Penjara Pokok Sena, Kedah

Covid-19 (file pic)

KUCHING, 19 Okt: Hospital ‘makeshift’ di dalam Fasiliti Penjara Pokok Sena di Kedah diwujudkan dalam usaha mendepani wabak Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kemudahan itu mampu menempatkan sehingga 250 orang selain boleh menempatkan pesakit dari penjara-penjara di sekitar Kedah.

“Hospital ‘makeshift’ ini lengkap dengan kemudahan kategori tiga dan kategori empat.


“Ini adalah kerana ia mempunyai fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit yang memerlukan bantuan oksigen, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hospital ‘makeshift’ yang diwujudkan melalui kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada esok, 20 Oktober, 2020.

Dua blok bangunan bengkel sedia ada di dalam kawasan penjara tersebut sedang ditukar fungsi menjadi fasiliti kesihatan sementara bagi merawat pesakit Covid-19 termasuk yang memerlukan bantuan oksigen.-DayakDaily