Ketua Kaum dilarang berpolitik, kata PBDSB

Bobby William

MIRI, Okt 17: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) melalui satu kenyataan media hari ini, menyatakan kesangsian parti itu terhadap pengelibatan aktif Ketua-Ketua Kaum di Sarawak dengan parti-parti politik.

Perkara ini adalah bertentangan dengan Ordinan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat 2004, di mana larangan dalam Seksyen 8 (1) menyatakan bahawa ketua kaum dilarang sama sekali mempunyai kedudukan dalam parti politik.

Ketua Penerangan PBDSB Bobby William memberitahu bahawa Seksyen 8(1) (a), (b) dan (c) memperuntukan individu yang dilantik sebagai Ketua Kaum dilarang daripada mempunyai kedudukan dalam parti politik, tidak boleh menjawat jawatan kounsilar (majlis daerah dan pentadbiran bahagian) serta dilarang sama sekali menjawat sebarang jawatan bermotifkan keuntungan.


“Apa yang menyedihkan, Ketua Kaum kita terutamanya tuai rumah gagal mematuhi ordinan ini. Sebaliknya, berkomplat dengan ahli politik dan berkecimpung aktif untuk kepentingan sesetengah parti”, kata Bobby.

“Lihat sahaja di Sibu, kebanyakan parti yang bertopengkan kepelbagaian kaum seperti SUPP dan UPP seolah-olah memperbodohkan institusi tuai rumah malah mempergunakan mereka untuk meraih sokongan politik masyarakat Dayak,” jelas nya.

Beliau berkata, lebih teruk lagi parti-parti tersebut menubuhkan Unit Bumiputera dan melantik tuai rumah sebagai ketua dan ahli unit tersebut. Perkara ini jelas sekali menentang undang-undang yang ditetapkan.

Bobby juga mengulas, pekara ini boleh menjejaskan institusi ketua kaum di negeri ini; malah, menjejaskan imej dan tanggungjawab Ketua Kaum itu sendiri. Oleh yang sedemikian, pihak PBDSB telah mengambil inisiatif menganjurkan Akademi Ketua Kaum Dayak. — DayakDaily