Kesiapsiagaan APM Sarawak dalam mendepani bencana banjir

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak telah mengadakan latihan pengendalian bot dan skuba.

KUCHING, Julai 26: Kemahiran pegawai dan anggota dalam mempersiapkan diri dengan ilmu dan cara pengendalian bot dan skuba bagi berdepan dengan bencana banjir amatlah penting kerana dengan langkah yang tepat, cekap dan pantas, dapat menyelamatkan nyawa mangsa bencana.

Di Sarawak, Monsun Timur Laut ataupun musim tengkujuh biasanya pada bulan Disember hingga Mac setiap tahun.

Keadaan ini bertambah teruk apabila hujan yang turun lebih dari tiga hari bertembung pula dengan air laut pasang ataupun “king tide” berlaku serentak dan ianya akan mengakibatkan bencana banjir berlaku di kawasan yang rendah seperti penduduk yang tinggal di sepanjang sungai dan pantai.


Bagi mempersiapkan pegawai dan anggota yang akan berdepan dengan situasi bencana banjir ini, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak telah mengadakan latihan pengendalian bot dan skuba untuk memastikan agar bot untuk penyelamatan mangsa berada di tahap yang memuaskan sebelum berlakunya bencana banjir.

Latihan yang telah diadakan pada 23 dan 24 Julai bertempat di Pantai Kampung Pugu Lundu telah dihadiri sendiri oleh PPj (PA) Mohtar bin Samat , Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, Pegawai Latihan, Logistik dan Pegawai Daerah Samarahan, Bau dan Lundu.

Mohtar berkata bot merupakan suatu kelengkapan yang telah dibekalkan oleh pihak pengurusan Angkatan Pertahanan Awam, dan telah di agih-agihkan keseluruhan negeri bagi menjalankan tugas yang melibatkan pengurusan bencana.

“Perkara ini wajar diberi perhatian yang menyeluruh kerana ianya melibatkan prinsip pemanduan dan pengendalian bot secara betul dan teratur. Pejabat Pertahanan Awam Daerah yang telah diperlengkapkan dengan peralatan ini haruslah berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengendaliannya,” kata beliau.

Selain itu, untuk memastikan segala tindakan yang dijalankan sebelum, semasa dan selepas latihan berjalan dengan lancar dan teratur terutamanya dalam meyakinkan pegawai dan anggota dalam aktiviti memandu bot injin sangkut.

Mereka juga perlu memastikan bot, injin sangkut dan troli dapat dikendalikan dengan sempurna dan menyenaraikan garispanduan didalam pemanduan dan pengendalian “fast rescue boat” semasa bencana dan melakukan aktiviti-aktiviti mencari dan menyelamat mangsa.

“Kalau kita imbau kembali bencana banjir yang berlaku di sarawak, pada tahun 2016 banjir berlaku di kawasan bandar. 2017 pula berlaku di kawasan pedalaman. 2018, banjir berlaku di seluruh bahagian dan 2019 berlaku di selatan sarawak. Oleh itu, pengendalian bot semasa bencana banjir juga perlu mempunyai kemahiran yang berbeza bagi memindahkan mangsa banjir dari rumah mangsa ke pusat pemindahan,” tambah beliau.

APM akan mempersiapkan diri dalam menghadapi bencana melibatkan air di mana latihan ini membentuk diri ke arah menghadapi apa jua kecemasan dan bencana di samping menyelamatkan nyawa dan harta awam.

Dengan semangat kesukarelawan yang tinggi, ia dapat memerpercepatkan lagi hasrat membentuk satu pasukan beruniform yang tegap dan mampu menghasilkan tugas yang terbaik kepada orang awam.— DayakDaily