Kes tembakan TUDM: Polis masih tunggu laporan forensik

Aidi Ismail bercakap dalam sidang media tersebut.

KUCHING, 22 Sept: Laporan forensik bagi mengenalpasti punca kejadian tembak melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Ogos lalu masih belum diperolehi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata laporan forensik itu nanti termasuklah mengenai kandungan telefon bimbit mangsa dan suspek bagi melihat kemungkinan punca kes.

Katanya telefon bimbit mangsa dan suspek tersebut telah di hantar ke unit forensik Bukit Aman.


“Banyak isu yang kita perlu lihat dalam kes ini kerana melibatkan empat orang mangsa.

“Maka kita akan melihat sejarah daripada telefon bimbit mereka sama ada timbul masalah pergaduhan atau perbalahan dan mungkin ada isu-isu yang boleh berkaitan kejadian itu,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.

Selain itu, Aidi berkata pihaknya juga merakam percakapan saksi dan rakan mangsa serta suspek.

Kejadian tembakan tersebut berlaku pada 13 Ogos lalu sekitar jam 7.35 pagi di Balai Pengawal HANDAU ke TUDM Kota Samarahan.

Empat anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan ialah Kpl Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, Kpl Udara Mohamad Ehsan Sehamat, Kpl Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara Nesly Anak Nabau. — DayakDaily