Sarawak kuasa besar sukan angkat berat, kata Fatimah

Fatimah(duduk empat dari kanan) pada kunjungan hormat para atlet di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya.

KUCHING, 22 Sept: Sarawak kuasa besar dalam sukan angkat berat dalam negara, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, lima daripada enam atlet angkat berat yang akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Georgia, Rusia pada November ini berasal dari Sarawak.

“Mereka adalah pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo Bonnie Bunyau Gustin, pemenang pingat perak Jong Yee Khie, Bryan Junency Gustin, Azlan Mos dan Nicodemus Manggoi Moses.


“Ini menunjukkan bahawa kita adalah kuasa besar dalam sukan angkat berat dalam negara dan saya harap kita dapat kekalkan status ini.

“Di bawah bimbingan ketua jurulatih Jamil Adam yang juga orang Sarawak, saya yakin bahawa lima atlet angkat berat terutama Bonnie dan Jong akan tetap membanggakan negeri dan negara di kejuaraan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat Jamil dan para atlet di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di Petra Jaya hari ini.

Tambah Fatimah, lima atlet dari Sarawak dari 22 atlet pasukan kebangsaan dan Jamil adalah antara mereka yang menyertai temasya Paralimpik Tokyo baru-baru ini.

Katanya, atlet para kita seperti Bonnie dan Jong telah memenangi emas dan perak di Tokyo dan diharap dapat mengekalkan prestasi dan pencapaian ini dalam kejohanan dunia yang akan datang.

Ujar Fatimah, ini juga merupakan acara kelayakan untuk menempah tiket ke Paralimpik Paris di Perancis pada tahun 2024.

Jelas Fatimah, atlet akan menjalani latihan pusat selama satu bulan di Kuching sebelum terbang kembali ke Kuala Lumpur. — DayakDaily