Kes kemalangan jalan raya di Sarawak membimbangkan

Mancha memakaikan topi keledar yang baharu kepada pekerja penghantar makanan semasa majlis tersebut.

KUCHING, 24 Mei: Kadar kemalangan jalan raya di Sarawak meningkat dan agak membimbangkan, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata.

Menurutnya, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kes kemalangan direkodkan adalah sebanyak 6,690 kes berbanding 5,938 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Jelasnya, terdapat peningkatan sebanyak 752 kes.


“Statistik kemalangan serta kematian di jalan raya di Sarawak masih tidak menunjukkan wujudnya perubahan sikap pengguna jalan raya seperti mana yang diharapkan.

“Malahan baru empat bulan berada di tahun 2023 ini, kemalangan yang berlaku menunjukkan peningkatan yang agak membimbangkan,” katanya semasa berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Gawai Dayak 2023 di Pusat Beli Belah Farley, di sini hari ini.

Tambah beliau, statistik kemalangan jalan raya semasa sambutan Gawai Dayak pada tahun 2022 juga membimbangkan kerana terdapat peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2021.

“Berdasarkan statistik, sebab utama berlaku kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu atau pengguna jalan raya itu sendiri yang cuai ketika berada di atas jalan raya,” katanya.

Jelasnya, jumlah kemalangan dan kematian yang direkodkan semasa perayaan tersebut pada tahun 2022 ialah 423 kes dan 18 kematian berbanding 202 kes dan tujuh kematian pada tahun sebelumnya.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak juga akan melancarkan Op Selamat sempena Hari Gawai Dayak selama lapan hari bermula 29 Mei hingga 5 Jun ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili dan wakil-wakil dari agensi serta jabatan kerajaan yang terlibat dalam kempen keselamatan jalan raya tersebut. — DayakDaily