Kes HFMD di Sarawak kian meningkat

Dr Jamilah Hashim

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 24: Bilangan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Sarawak telah menunjukkan peningkatan pada tahun ini berbanding dengan jumlah kes pada tahun 2018.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, dari 1 Januari sehingga 19 Januari 2019, sebanyak 615 kes HFMD telah dilaporkan berbanding hanya 112 kes bagi tempoh yang sama pada 2018.


Katanya, sebanyak 77 peratus kes adalah kanak-kanak berumur bawah tiga (3) tahun.

“42 kes telah dimasukkan ke wad kerana dehidrasi disebabkan luka dalam mulut yang menyukarkan mereka untuk makan dan minum.

“Bagaimanapun, tiada kes kematian dilaporkan. Antara lain, tiga (3) bahagian yang mencatatkan jumlah kes melebihi
100 iaitu Miri (143), Kuching (111) dan Sibu (102),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Jamilah menambah, bagi tempoh tiga (3) minggu pertama tahun 2019, sebanyak 44 kluster HFMD telah dilaporkan.

Jelas beliau, 31 kejadian berlaku di rumah persendirian yang melibatkan isi rumah sahaja, sembilan (9) kluster melibatkan murid di pra-sekolah dan empat (4) di pusat jagaan kanak-kanak.

“Hanya empat (4) pra-sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak yang telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 18 (1) (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sehingga kini tiada ubat atau vaksin khusus bagi mencegah jangkitan HFMD. Justeru, amalan langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan,” katanya. — DayakDaily