Pemandu durjana disyaki rogol remaja perempuan diberkas

Polis menahan suspek (dua dari kiri) untuk siasatan lanjut.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 24: Polis menahan seorang pemandu selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan di sebuah pusat kebajikan di sini tahun lepas.

Suspek berusia 40-an diberkas susulan laporan yang diterima oleh pegawai pusat kebajikan berkenaan berhubung kejadian mangsa disyaki menjadi mangsa rogol suspek.


Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku telah merogol mangsa yang berusia 15 tahun pada Mac 2018

“Suspek sama kemudian mengulangi perbuatan terkutuk itu pada bulan seterusnya di dalam sebuah dewan,” katanya hari ini.

Sumber menambah, suspek dikatakan menghadiahkan sebuah telefon bimbit kepada mangsa untuk menutup perbuatan kejinya itu.

Katanya, suspek telah ditahan reman untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati terdapat koyakan lama dalam kemaluan mangsa,” katanya. — DayakDaily