Kes demam denggi meningkat 270 peratus tahun ini — Dr Jamilah

Female aedes albopictus mosquito. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 14: Situasi kes demam denggi di Sarawak tahun ini telah mengalami peningkatan sebanyak 270 peratus, apabila mencatatkan 1,258 kes berbanding 340 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim, berkata setakat 12 Ogos, Kuching melaporkan 485 kes, diikuti Miri (169), Betong (125), Sibu (119) dan Kota Samarahan (101).


Ini disusuli Kapit dengan 59 kes, Serian (57), Sarikei (44), Bintulu (41), Limbang (21), Sri Aman (23) dan Mukah dengan 14 kes.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin juga merujuk kepada situasi semasa kes demam denggi di Taman Tunku, Miri, di mana sebanyak 49 kes telah dilaporkan tahun ini jika dibandingkan tiada kes untuk tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Jamilah menambah, semua kes yang dilaporkan telah dijalankan aktiviti kawalan dan pencegahan yang komprehensif, terdiri daripada penghapusan tempat pembiakan, penghapusan jentik-jentik nyamuk dan semburan kabus.

Arahan pembersihan tempat berpotensi pembiakan, tindakan penguatkuasaan kompaun denggi dan aktiviti pendidikan kesihatan juga akan dijalankan.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Wabak Denggi Daerah dengan pelbagai agensi terutama Majlis Bandaraya Miri berkenaan wabak denggi Taman Tunku juga telah dilaksanakan.

“Justeru itu, orang awam perlu melaksanakan pemeriksaan dan pembersihan di kawasan rumah masing-masing secara berkala.

“Selain itu, mereka perlu sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi mengikut panduan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.”

Untuk maklumat, orang awam dinasihati untuk melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.myhealth.gov.my atau www.infosihat.gov.my. — DayakDaily