NADMA arahkan MET Malaysia dan TUDM siap siaga lakukan operasi pembenihan awan di Miri

Kelihatan kebakaran di kawasan terbuka.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 14: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengarahkan Jabatan Metereologi Malaysia (MET Malaysia) dan pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) untuk bersiap siaga melakukan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan kebakaran tanah gambut di Kuala Baram, Miri sekiranya keadaan atmosfera bersesuaian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, MET Malaysia mendapati bahawa keadaan atmosfera di kawasan berkenaan adalah tidak stabil dan tidak bersesuaian untuk OPA dijalankan pada minggu ini.


NADMA juga, ujarnya, telah mendapat kerjasama Maritim Malaysia bagi menggunakan pesawat udara Bombardier untuk tujuan operasi pemadaman kebakaran di kawasan terjejas.

Jelas beliau, operasi memadam menggunakan pesawat itu akan dimulakan esok (Ogos 15).

“Pada masa sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan terus melakukan operasi pemadaman seperti biasa.

“NADMA juga akan membiayai pembelian topeng muka bagi mengagihkan kepada masyarakat setempat yang tinggal berhampiran kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Wan Azizah menambah, penduduk di kawasan berkenaan juga dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa memakai topeng muka apabila berada di kawasan terbuka.

Katanya, kerajaan negeri Sarawak juga telah memohon untuk menjalankan OPA di kawasan kebakaran tanah gambut yang berlarutan sejak Ogos 3 lepas.

“Keluasan kawasan yang terbakar sehingga kini adalah 104 hektar walaupun 41.5 hektar telah berjaya dipadamkan.

“Namun 62.5 hektar belum dapat dipadamkan. Keadaan itu mengakibatkan menyebabkan kualiti udara di tahap tidak sihat dan bahaya dicatatkan di kawasan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, keadaan itu juga disebabkan oleh pembakaran terbuka di kawasan berhampiran selain jerebu rentas sempadan yang dibawa dari Sumatera dan Kalimantan. — DayakDaily