Kes bunuh Ladang Paroh: Dua suspek dihadap ke mahkamah pagi ini

Kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Magistret di Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 Mac: Seorang wanita bersama teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh secara bersama seorang lelaki yang juga suaminya dalam satu kejadian di sebuah pondok di sebuah ladang di Paroh, Suai Niah bulan lalu.

Pertuduhan terhadap suspek wanita berusia 35 itu dan teman lelakinya berusia 25, dibuat di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.


Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Linggi Tedong, 38, antara jam 4 petang dan 5 petang di sebuah ladang di Paroh, Suai Niah, pada 22 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa ASP Mary Ong, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili.

Mahkamah menetapkan April 25 tahun ini sebagai tarikh sebutan kes bagi penyerahan laporan bedah siasat dan forensik kes.

Suspek wanita kes bunuh Ladang Paroh Suai Niah (tengah) dibawa di Komplex Mahkamah Magistret Miri pagi tadi (7 Mac 2022).

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang berpakaian baju lokap polis berwarna oren tiba di perkarangan Mahkamah Miri pada jam 8.30 pagi diiringi anggota polis diketuai pegawai penyiasat ASP Joyce Sagai.

Pada 23 Februari, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah bergegas ke sebuah ladang Paroh, Niah, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan satu mayat sekitar jam 10.45 pagi.

Susulan dari kejadian tersebut, JSJ Miri telah menahan seorang wanita dan enam orang lelaki warganegara Malaysia untuk membantu siasatan.

Susulan daripada tangkapan tersebut,pihak polis turut menjumpai senjata api serta kelonsong peluru yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut. — DayakDaily