Kerjasama SDNU-PEMAIK atasi masalah setinggan di tanah perkuburan

Mawan (gambar fail)

KUCHING, 23 Julai: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) akan bekerjasama dengan PEMAIK, iaitu sebuah persatuan merangkumi pemimpin komuniti Iban Kuching, bagi mengatasi masalah setinggan di kawasan perkuburan milik kesatuan tersebut.

Presiden SDNU, Tan Sri William Mawan Ikom, berkata kerjasama itu merujuk kepada permasalahan di “Pendam Tusur” milik SDNU di Jalan Chawan, di sini.

Katanya, SDNU akan menghantar delegasi bertemu PEMAIK dalam masa terdekat bagi berbincang dan mencari penyelesaian.

“Kemungkinan salah satu dari jalan penyelesaiaan adalah membantu mencari tapak penempatan baharu bagi mereka yang terlibat. Perkuburan itu sudah padat dan tiada lagi ruang biarpun untuk urusan pengkebumian,” katanya.

Kecewa dengan sikap segelintir pihak yang menyalahgunakan tanah perkuburan sebagai tempat kediaman, Mawan inginkan jalan penyelesaian terbaik untuk kepentingan semua pihak yang terlibat.

Difahamkan, banyak rumah setinggan telah dibina disekeliling tanah perkuburan berkenaan malah ada yang dibina di atas kubur.

Pada masa yang sama, Mawan menyokong kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang telah menyarankan agar PEMAIK memainkan peranan membantu kerajaan mencari penyelesaian kepada permasalahan rakyat.

Terdahulu, Uggah telah menyarankan PEMAIK yang diketuai Temenggong Datuk Bernard Agan untuk membantu mengumpulkan data jumlah masyarakat yang miskin.

Menurutnya, data tersebut agak kritikal dalam usaha kerajaan membantu rakyat menerusi program-program bantuan. — DayakDaily