Kerjasama Sarawak-Indonesia penting untuk pertingkat industri perabot

Awang Tengah (lima dari kanan) menyaksikan pertukaran dokuman MoA antara Hashim dan Dr Imam (kiri)

BANDUNG, 26 Okt: Kerajaan negeri mencadangkan kepada sektor swasta di Sarawak dan Indonesia bekerjasama dalam industri perabot bagi menguasai pasaran di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian berikutan rantau Asia Tenggara, yang ketika ini mempunyai seramai 640 juta penduduk, merupakan pasaran perabot yang amat besar bagi Sarawak dan Indonesia.

“Kita ada pasaran yang besar dan boleh bersama menggabungkan sumber kita bagi mengeluarkan perabot dan mencipta permintaan terhadap perabot, bukan sahaja di Indonesia dan Malaysia, tetapi negara rantau ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara),” katanya ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) antara Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) danĀ Institute Technology Of Bandung (ITB) di sini hari ini.


Dalam majlis menandatangani MoA tersebut, PusakaĀ diwakili Pengurus Besarnya, Hashim Bojet, manakala ITB diwakili Dekan Fakulti Kesenian dan Rekaannya, Dr Imam Sentosa.

Menteri Muda Pembangunan Industri Malcom Mussen Lamoh, Konsul Besar Indonesia di Kuching, Yonny Tri Prayatino, Rektor ITB Dr Kadarsah Suryadi, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Industri Datu Liaw Soon Eng dan Presiden Persekutuan Perniagaaan Sarawak Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg turut hadir di majlis tersebut.

Awang Tengah (kanan) disambut oleh Dr Dani semasa kunjungan hormat di pejabatnya.

Selepas majlis terbabit timbalan ketua menteri mengadakan kunjungan hormat kepada perwakilan Gabenor Bandung, Dr Dani Ramdan, di pejabatnya di Jawa Barat.

Awang Tengah, yang juga Menteri Perindustrian dan Pembanguan Usahawan, berkata tahun lepas, Sarawak merekodkan eksport kayu dan produk kayu mencecah RM6.13 bilion dengan sebanyak RM46.7 juta dari jumlah itu ialah perabot dan komponennya.

Beliau menjelaskan yang industri perabot di Sarawak masih kecil dan baharu tetapi kerajaan negeri sedang melaksanakan pelan transformasi perkayuan yang akan membantu transformasi struktur industri itu, yang ketika ini banyak bergantung kepada asas industri utama dan sekunder kepada asas industri tertiari yang memfokuskan kepada pembangunan perabot dan nilai tambahnya.

“Ketika ini, Pusaka sedang bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi melaksanakan Program Pool of Young Designer (POYOD) bagi melahirkan bakat muda rekaan perabot,” katanya, sambil meluahkan rasa yakin MoA terbabit akan memberi laluan menambahbaik program POYOD.

Ini kerana beliau mengakui Indonesia sudah amat maju kehadapan dalam industri perabot dan produk mereka sudah berjaya menembusi pasaran global kerana kreativiti.Ā ā€” DayakDaily