Guru lelaki berjaya elak daripada jadi mangsa ‘Macau Scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, 26 Okt: Seorang guru di sini berjaya mengelak daripada menjadi mangsa penipuan sindiket ‘Macau Scam’ selepas menerima panggilan telefon daripada lelaki kononnya pegawai polis, semalam.

Guru lelaki berusia 27 tahun berkenaan pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Damansara serta mengesahkan nama dan kad pengenalannya


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata suspek kemudian memberitahu bahawa nama guru tersebut sebagai penyewa kenderaan dan terlibat dengan kes langgar dari di Jalan Sandakan, Sabah, pada 21 Okt lepas.

Jelas beliau, seterusnya suspek menyambung talian ke IPD Sabah dan pengadu telah bercakap dengan seorang anggota polis kononnya Sarjan Anwar Majid.

“Anggota polis tersebut kemudian kononnya menyemak rekod kesalahan guru tersebut yang lain dan diberitahu bahawa dia telah disabitkan kesalahan dalam kes pengubahan wang haram sebanyak RM2 juta

“Suspek seterusnya memberitahu guru tersebut bahawa dia boleh menolongnya dan akan merayu kepada pihak mahkamah untuk membersihkan namanya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, suspek kemudian memberi masa selama satu jam kepada guru berkenaan untuk mencari duit sebanyak mungkin.

Katanya, suspek juga kononnya akan mencari jalan untuk membantu pengadu untuk menguruskan ikat jamin sebanyak RM5,000.

“Pengadu yang berasa curiga dengan segala kenyataan yang diberikan oleh suspek kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Guru berkenaan juga tidak membuat sebarang pembayaran kepada suspek,” katanya. — DayakDaily