Kerjasama Kementerian Sumber Manusia-China untuk memperluaskan pendidikan TVET

Kulasegaran (kiri) menyampaikan cek bantuan Perkeso kepada salah seorang penerima ketika menghadiri program bertemu pelanggan Kementerian Sumber Manusia.

KUCHING, 17 Sept: Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan negara China bagi memperluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada penduduk negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata satu memorandum persefahaman (MoU) tentang kerjasama itu juga akan ditandatangani antara kementerian itu di negara terbabit esok.

”Esok saya akan ke China untuk menandatangani MoU yang akan membantu kita bergerak ke hadapan dalam menyediakan latihan teknikal, kerana China sudah maju di hadapan (dalam penyediaan latihan TVET),” katanya ketika program bertemu pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Pasar Komuniti Stutong di Tabuan Jaya, di sini, hari ini.


Kulasegaran (kanan) mendengar aduan orang ramai ketika menghadiri program bertemu pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Pasar Komuniti Stutong, Tabuan Jaya.

Kulasegaran bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai MoU itu tetapi menjelaskan ianya cukup penting kerana TVET boleh membantu rakyat negara ini mendapat pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih baik.

“Mereka (yang belajar TVET) juga boleh mendapat pekerjaan lebih terjamin disamping tidak perlu bekerja ke luar negara tetapi dapat bekerja di negara sendiri,” katanya.

Ujar beliau, kementerian itu sudah ada institusi TVET di seluruh negara termasuk Kuching, Samarahan, Bintulu dan tidak lama lagi, di Serian.

Beliau berkata selain bekerjasama dengan negara luar, kementerian itu juga akan bekerjasama dengan satu syarikat di Genting Highland yang memerlukan seramai 1,000 pekerja teknikal dari institusi TVET.

Ini berikutan syarikat terbabit telah membina satu taman tema teknologi terkini di Genting Highland dengan kos sebanyak RM2.5 bilion, tetapi kekurangan pekerja yang sudah dilatih secara teknikal dan mungkin terpaksa mengunakan pekerja asing.

“Sehubungan itu kami mahu ibu bapa di negara ini mengubah pandangan mereka terhadap institusi TVET dan tidak hanya menghantar anak mereka ke universiti untuk menjadi peguam atau doktor,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahu rakyat Malaysia menyedari sesetengah jurusan pekerjaan dalam bahaya terhapus tidak lama lagi berikutan pengunaan teknologi “artificial intelligence” atau AI.

“Satu antaranya ialah bidang perakaunan, kalau kamu belajar perakaunan kemungkinan besar dalam lima tahun lagi, sehingga 80 peratus tidak ada kerja,” katanya sambil menjelaskan ini disebabkan perkembangan teknologi AI yang akan dapat mengambil alih sepenuhnya kerja perakaunan termasuk mengenalpasti penipuan.

Kulasegaran berkata ini berbeza dengan mereka yang belajar di institusi TVET, dia mana ramai terus diambil sebagai pekerja selepas tamat latihan.

Malahan ada yang akan mendapat tawaran bekerja lebih dari satu majikan, tambah beliau. — DayakDaily