Kereta yang dipercayai dicuri oleh 2 orang perompak di Pujut 5 ditemui, polis masih menjejaki suspek

Anggota JSJ Miri berada di lokasi kenderaan tersebut yang ditemui dalam operasi lejang lewat petang Selasa.

MIRI, 7 April: Sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang hilang dalam satu kes pecah rumah dan rompak di sebuah rumah di Pujut 5 awal pagi Selasa (6 April), ditemui semula lebih kurang 16 jam selepas kejadian.

Kenderaan terbabit ditemui di kawasan semak berhampiran Kampung Masjid Kuala Baram, iaitu kira -kira 17.7km dari lokasi rumah mangsa rompakan.

Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah bergegas ke lokasi kenderaan pada petang Selasa sekitar jam 6.30 petang.


Hasil pemeriksaan lanjut melalui sistem aplikasi MCARD mendapati Toyota Fortuner tersebut adalah kenderaan yang dilaporkan hilang semasa kejadian rompakan pada 6 April di Pujut 5.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan penemuan kenderaan tersebut.

Pada awal pagi 6 April di sebuah rumah dua tingkat di Pujut 5, seorang lelaki warga emas berusia dalam lingkungan 70-an bersama pembantu rumahnya telah dirompak oleh dua lelaki sekitar jam 2.30 pagi.

Dalam kejadian, suspek telah melarikan kereta milik mangsa, serta sebuah televisyen 42-inci dan dua buah telefon pintar.

Pihak polis masih dalam usaha menjejak dua lelaki yang terlibat dalam kejadian rompakan dan pecah masuk rumah tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 397/379A Kanun Keseksaan. — DayakDaily