2 lelaki bersenjatakan parang disyaki pecah masuk rumah, melarikan diri dengan TV, kereta

Anggota JKP Miri kelihatan tiba di rumah mangsa pagi tadi.

MIRI, 6 April: Dua lelaki bersenjatakan parang memecah masuk sebuah rumah di Pujut 5 di sini awal pagi tadi, bukan sahaja melarikan sebuah televisyen saiz 42 inci, malah sebuah kereta Toyota Fortuner milik mangsa.
Difahamkan, mangsa seorang lelaki berusia dalam 70-an yang tinggal bersama pembantu rumahnya ketika kejadian, sedang tidur di kamarnya di tingkat satu.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.30 pagi tadi.
Menurut ketua Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri, Malateh Mahmud, sejurus menerima panggilan dari anak mangsa mengenai kejadian, beliau bersama enam anggota unit rondaan JKP bergegas ke lokasi.
Mujur tiada kecederaan berlaku semasa kejadian, ujarnya.
“Menurut mangsa, kedua-dua suspek telah masuk ke dalam bilik tidurnya sambil memegang parang dan menyuruhnya diam,” katanya.
Semasa berada di dalam kamar tidur mangsa, suspek telah mengeledah almarinya mencari barangan berharga.
Dalam kejadian, suspek turut melarikan dua unit telepon bimbit.
Ini merupakan kejadian kali kedua berlaku selepas beberapa tahun rumah mangsa dipecah masuk.
Satu laporan polis telah dibuat anak lelaki mangsa. — DayakDaily