Pengawal keselamatan ditangkap, disyaki suspek pecah rumah

Suspek ditangkap polis pada semalam.

KUCHING, 12 Okt: Seorang pengawal keselamatan yang disyaki memecah masuk rumah seorang ejen jual rumah di Matang, di sini ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditangkap kira-kira jam 7.30 pagi hari ini di kawasan sebuah kedai makan di Matang.

Katanya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu masing-masing di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan serta tiga di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Menururnya juga, pihaknya menerima laporan kejadian pecah rumah tersebut kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah pelbagai barang kemas dan wang tunai RM950, dengan anggaran kerugian kira-kira RM10,000.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan. — DayakDaily