Kereta terbakar selepas kemalangan kendiri, pemandu sempat selamatkan diri

Anggota Bomba sedang memadam kebakaran.
Advertisement

SIBU, 5 Julai: Seorang lelaki berjaya menyelamatkan diri sebelum keretanya tiba-tiba terbakar berhampiran Rumah Inggai Sungai Anus Sibu semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 9.33 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Komander operasi melaporkan sebuah Proton Preve yang telah terbakar 100 peratus di bahu jalan akibat dari kemalangan kendiri.

“Pemandu kenderaan seorang lelaki, 41 tahun, berjaya menyelamatkan diri sebelum kenderaan tersebut terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak Bomba melakukan pemadaman dengan menggunakan satu aliran salur bantu bagi mengawal serta memadam kebakaran.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.36 malam. — DayakDaily

Advertisement