Seorang lelaki maut dalam kemalangan di Batu Niah

Pihak Bomba berusaha mengeluarkan mangsa.

BATU NIAH, 5 Julai: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Simpang Ngu Batu Niah, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 8.44 malam.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) yang dipercayai terlibat kemalangan kendiri lalu terbalik di tengah jalan.


“Pihak Bomba terus melalukan ‘size up’ dan operasi mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan tersebut menggunakan ‘rescue tool’.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan mendapati mangsa berusia 25 tahun.

“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi tamat pada jam 10.36 malam. — DayakDaily