Kereta langgar motosikal, dua mangsa temui ajal

Kelihatan motosikal mangsa yang hancur akibat kemalangan itu.

MIRI, April 26: Malang menimpa seorang lelaki dan wanita selepas mereka terkorban apabila terlibat dalam kemalangan di Jalan Bintang di sini awal pagi ini.

Kejadian pada pukul 1.30 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa iaitu Mohd Hafizi Ali, 22, dan Nur Shafinaz Sehat, 22, maut serta merta di lokasi kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Mohd Hafizi tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kanan ke laluan bertentangan.

Jelasnya, tindakan itu telah mengakibatkan kereta Toyota Altis yang bergerak di laluan tersebut gagal mengelak lalu merempuh motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan mereka.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu kereta itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. ā€” DayakDaily