Faktor usia bukan penghalang berkhidmat untuk rakyat

Lukanisman Awang Sauni

KUCHING, April 26: Calon termuda yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) Sarawak di kawasan Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, 36, berkata, usia bukan menjadi kayu pengukur kepada kemampuan seseorang calon, sebaliknya apa yang penting ialah semangat untuk membantu mesyarakat akar umbi.

Katanya, jika dilihat pada usianya, mungkin ramai yang menganggap beliau masih terlalu mentah untuk berkecimpung dalam dunia politik.

“Sebenarnya, faktor usia muda bukan menjadi penghalang kepada mana-mana individu untuk bergelar wakil rakyat.

“Paling penting adalah semangat untuk seseorang itu berkhidmat serta berbakti kepada rakyat,” katanya ketika ditemui semalam.

Bekas Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu juga berikrar akan membalas kepercayaan yang diberikan oleh pucuk kepimpinan tertinggi BN dengan memastikan kawasan Parlimen Sibuti kekal sebagai kubu kuat BN.


Jelasnya, meskipun pertama kali bertanding pada pilihan raya umum, ia tidak bermakna calon muda tidak mampu menggalas tanggungjawab itu dengan baik.

“Umur muda tidak semestinya kita tidak boleh menjalankan amanah yang diberikan.

“Insya Allah jika kita lakukan tugas yang diamanahkan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, saya yakin kemenangan akan berpihak kepada BN,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Share this article!