Kerajaan terus bela kebajikan dan hak rakyat – MP Lubok Antu

Jugah (empat dari kiri) menyampai cek peruntukkan kepada salah seorang wakil penerima.

KUCHING, 6 Julai: Kerajaan akan sentiasa mengutamakan kebajikan dan membela hak rakyat, kata MP Lubok Antu Jugah Muyang.

Berucap pada satu majlis di Rumah Jaong di Lubok Pantu, Ulu Engkari Ahad lepas, beliau berkata projek-projek yang dibawa oleh kerajaan adalah untuk kebaikan semua rakyat.

“Adalah menjadi keutamaan kita untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar bagi merapatkan jurang kemiskinan antara luar bandar dan bandar.

“Usaha tersebut dilihat melalui pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan untuk manfaat rakyat keseluruhannya,” katanya.

Pada majlis tersebut, Jugah telah menyampaikan peruntukkan RM70,000 untuk pembinaan parit di kawasan Rh Jaong.

Sejumlah RM13,000 juga disampaikan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Jaong.

Turut menerima peruntukkan ialah PIBG SK Ulu Engkari (RM20,000), JKKK Rh Bada (RM5,000), JKKK Nanga Talong (RM5,000) serta JKKK Rumah Patrick Tarum, Buai juga RM5,000.-DayakDaily.