Kerajaan sedang kaji semula Perintah Gaji Minimum 2020, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUCHING, 1 May: Kerajaan kini sedang melaksanakan kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2020 bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dan menyeru agar semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat serta cadangan berkenaan isu tersebut mengambil bahagian dalam platform yang disediakan.

Beliau berkata demikian ketika menyampai amanat khas Hari perkerja yang ‘Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat’ hari ini.


Belia berkata, kerajaan kini juga dalam proses untuk menambahbaik dan meminda undang-undang perburuhan contohnya Akta Kerja 1955.

Ia dengan meluaskan skop pemakaian kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paternity selama tiga hari.

Pada masa sama, katanya amalan kerja akan turut ditambah baik dan kehidupan yang lebih seimbang (work life balance) melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel.

“Ini dilakukan melalui usaha pembaharuan undang-undang buruh yang menyeluruh bagi membela hak warga pekerja dengan lebih baik,” katanya.

Muhyiddin berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan kemakmuran negara dinikmati bersama tanpa ada sesiapapun yang tertinggal.

Justeru, warga pekerja yang bertindak sebagai barisan hadapan dalam bidang ekonomi dan pembangunan negara mempunyai tugas peranan yang sangat penting untuk mencapai hasrat tersebut.

“Saya tidak nafikan walaupun banyak bantuan disediakan kerajaan, masih juga terdapat golongan pekerja yang terjejas dan akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum tercetusnya wabak Covid-19.

“Namun saya yakin bahawa rakyat Malaysia khususnya warga pekerja akan kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara kita,” katanya. — DayakDaily