20 barang disenarai SHMMP Hari Raya Puasa 2021 Fasa Kedua

A ministry officer conducting a check at a supermarket.

KUCHING, 1 Mei: Sebanyak 20 barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMPHRP) 2021 Fasa kedua yang dikuatkuasakan selama 15 hari bermula ini 6 hingga 20 Mei nanti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dengan penambahan tersebut jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMMP HRP 2021 adalah sebanyak 32 jenis barangan.

Katanya, pelaksanaan SHMMP HRP 2021 secara berfasa ini dilaksanakan berdasarkan data dan bukti harga barangan di pasaran serta maklum balas pengguna.


“SHMMP bertujuan untuk menstabilkan harga barang yang kritikal yang menjadi menu utama bagi sesuatu perayaan untuk membolehkan seramai mungkin rakyat merayakan setiap perayaan dalam suasana tenang, ceria dan harmonis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, fasa pertama melibatkan 12 jenis barang yang berkuatkuasa pada 21 April lalu menunjukkan terdapat tanda-tanda kenaikan sejak akhir Mac 2021 yang melibatkan empat kategori barangan iaitu ayam, telur ayam, daging serta hasil laut.

Katanya, kementerian menjangka barang keperluan lain yang bersangkutan dengan sambutan perayaan tersebut akan menerima permintaan tinggi menjelang 1 Syawal selain berkemungkinan turut menerima tekanan dari sudut harga.

“Kementerian ini telah mengenal pasti sebanyak 20 jenis barangan dalam Fasa kedua SHMMP HRP2021 melibatkan Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada sayuran, barang kering dan hasil laut,” katanya.

Barangan keperluan yang disenaraikan dalam SHMMP HRP 2021 ialah Tomato, Cili merah, Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing, Kacang panjang, Sawi hijau, Terung panjang, Timun, Halia tua,Kelapa biji (borong sahaja),Kelapa parut (runcit sahaja), Bawang merah besar import (China), Bawang besar (Holland), Bawang putih (China), Cili kering,Ubi kentang import (China), Kacang tanah, Ikan segar beku kembung , Ikan segar beku selar, Ikan segar beku selayang dan ikan demuduk atau sagai atau cermin atau cupak (Sabah sahaja).

Alexender dalam pada itu turut mengingatkan peniaga supaya tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum serta mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu sepanjang perlaksanaan Skim terbabit.

Tegasnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini mengikutAkta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

“Kesalahan sama bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Tambah Alexender, kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula boleh didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5000 bagi kesalahan individu dan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan syarikat.

Katanya, KPDNHEP telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga termasuk menerusi portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian hotline 1800 886 800, aplikasi Ez ADU atau Enforcement Command Centre (ECC) di talian 03-88826245/6088.

“Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” tambahnya. — DayakDaily