Kerajaan sasar 300 hektar lagi tanah dibangunkan dengan tanaman nenas

Khairuzamri (dua dari kanan) pada lawatan ke Ladang Tanaman Kelompok Nenas di Sungai Ulu Moyan di Asajaya.

KUCHING, 26 Mac: Kerajaan berusaha mengembangkan tanaman nenas di negeri ini dengan mensasarkan 300 hektar tanah lagi dibangunkan secara berkelompok menjelang 2025.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia Mohd Khairuzamri Salleh, ia adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan peruntukan sebanyak RM50 juta telah disediakan bagi tujuan tersebut.

“Ini menunjukkan potensi tanaman nenas di Sarawak, kerana negeri ini mempunyai tanah yang luas.


“Dalam RMK12 ini kita sasarkan semua usahawan nenas ini mencapai pendapatan RM8,000 sebulan, iaitu bergerak dari kelompok B40 ke M40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan ke Ladang Tanaman Kelompok Nenas di Sungai Ulu Moyan di Asajaya hari ini.

Pada lawatan itu beliau bangga dengan pencapaian pengusaha nenas yang telah berjaya menguruskan tanaman mereka baik.

Katanya, pengusaha telah menggunakan teknologi yang dicadangkan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia dengan pelbagai jenis nenas telah ditanam di tanah seluas 60 hektar.

“Jenis premium masa kini iaitu nenas MD2 juga ditanam dan kita melihat kawasan ini akan berkembang dengan luas dan tiada masalah dari segi pembekalan benih di sini.

“Sasaran kita bagi industri nenas di Sarawak ialah untuk memenuhi tahap sara diri bagi penggunaan tempatan.

“Kita juga sasarkan produk-produk nenas ini kita eksport keluar seperti ke Brunei dan pasaran Asia Timur seperti Jepun dan China,” katanya. — DayakDaily