Kerajaan Sarawak sambut baik penangguhan Sukma Johor

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 27 Mac: Kerajaan Sarawak menyambut baik keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia menunda penganjuran Sukan Malaysia ke-20 (Sukma XX) yang dijadual berlangsung dari 11-19 Julai di Johor.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata keputusan untuk menangguhkan temasya dwi-tahunan sudah dijangka memandangkan situasi semasa amat berisiko susulan penularan wabak Covid-19 yang turut memaksa penangguhan Sukan Olimpik Tokyo, Jepun, dijadual berlangsung pada Ogos depan.


“Kita dimaklumkan mengenai penangguhan ini semalam selepas mesyuarat sidang video yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,” kata Abdul Karim semasa mesyuarat yang turut dihadiri Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, hari ini.

“Seperti yang telah saya nyatakan semasa sidang media pada 13 Mac di pejabat saya mengenai penangguhan acara sukan dan pelancongan di Sarawak, keputusan untuk menangguhkan Sukma pada tahun ini tertakluk kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dan kita akan mematuhinya,” tambah beliau.

Beliau bagaimanapun, Abdul Karim menepis tanggapan bahawa penangguhan itu bukan disebabkan oleh tekanan yang semakin meningkat terhadap jawatankuasa penganjur Sukma ekoran pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap keupayaan perjalanan dan atlet untuk berlatih dan mengambil bahagian dalam acara sukan terbesar di Malaysia itu.

Ujarnya, penangguhan atau kelewatan penganjuran Sukma tahun ini tidak dapat dielakkan kerana setiap kontinjen negeri termasuk atlet berdepan kekangan besar dalam rejim latihan mereka, program pendedahan dan proses persediaan keseluruhan yang tidak dapat diatasi dengan memuaskan.

Kata Abdul Karim, kementeriannya melalui Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) akan memaklumkan kepada semua persatuan sukan mengenai perkara ini agar semua 837 atlet, jurulatih dan pegawai akan ambil maklum mengenai perkembangan terkini Sukma 2020.

“Setakat ini, semua atlet kita berada dalam keadaan baik dan dikehendaki mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengelak dijangkiti Covid-19

“Mereka juga mematuhi arahan untuk tidak pergi atau menggunakan fasiliti di gimnasium,” jelas Abdul Karim.

Beliau menambah, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan atlet Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kementeriannya yang bekerjasama rapat dengan PSS dan MSNS bagi memastikan kesihatan mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik. – DayakDaily