Kerajaan Sarawak bina SMK Sebuyau Baharu, konsep bina dahulu tuntut kemudian – Abang Johari

Wan Junaidi serta isteri Fauziah hadir di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau.

SEBUYAU, 27 April: Kerajaan Sarawak mengambil alih pelaksanaan Projek SMK Sebuyau Baharu dengan kos sekitar RM60 juta.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia menggunakan konsep bina dahulu dan tuntut kemudian.

“Saya mengadu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Samarahan, saya kata pendidikan penting dimana sekolah yang teruk yang daif kita nak bangunkan.


“Tunggu duit dari kerajaan pusat yang tidak datang-datang.

“Kemudian saya syorkan kepada Anwar, biar kita (Kerajaan Negeri) buat dahulu dan kita tuntut kemudian, jadi dia setuju.

“Dari persetujuan ini, saya berani kata kita buat dahulu sekolah menengah di Sebuyau,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau hari ini.

Tambah Abang Johari, keputusan tersebut sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Beliau telah meminta Mohamad memaklumkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri agar melaksanakan projek tersebut.

“Apa yang dihadapi berkaitan sekolah sama juga di Gedong, sekolah di Gedong dinding berlubang, lantai berlubang, terpaksa guna duit kita sendiri untuk memperbaiki.

“Di Simunjan pun sama iaitu di Kampung Saging, kita juga guna duit kita dahulu.

“Pelaksanaan ini kita buat di seluruh Sarawak, seperti di Mukah, Daro termasuk di Ulu Segan di Bintulu,” kata Abang Johari.

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau dihadiri Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama Menteri Utiliti Datuk Julaihi Narawi. — DayakDaily