Kerajaan pusat disaran menyerah kembali kuasa berkaitan status warganegara kepada Sarawak

Lo bersama remaja dan kanak-kanak yang masih memohon status kewarganegaraan dari KDN, selepas mengadakan sidang media di ibupejabat Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kota Padawan.

KUCHING, Mac 5: Kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) disarankan untuk menyerahkan kembali kepada Sarawak kuasa autonomi pentabiran yang berkaitan memberikan status warganegara kepada anak yang lahir di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang menyarankannya berikutan bimbang Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dibawah kerajaan pusat akan berterusan memberi alasan remah bagi menolak permohonan penduduk negeri ini bagi mendapatkan status warganegara kepada anak mereka setelah berkahwin dengan wanita warga asing.

“Ini menyebabkan anak terbabit yang tidak ada melakukan kesalahan dan lahir di negeri ini terpaksa hidup sengsara dan tiada masa depan. Kerajaan pusat juga tidak sepatutnya berkuasa sepenuhnya dalam memberikan status kewarganegaraan kepada anak yang lahir di negeri ini, kerana mereka (kerajaan pusat dan KDN) di Semenanjung dan jauh dari Sarawak,” katanya katanya ketika mengadakan sidang media di ibupejabat Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kota Padawan, di sini, semalam.

Lo yang juga Pengerusi MPP sehubungan itu yakin hanya orang dari Sarawak sahaja dapat menilai dengan baik siapa yang telah lahir di negeri ini yang layak atau tidak layak mendapat status kewarganegaraan dan bukannya ditentukan orang lain yang berada di luar negeri ini.

“Salah satu alasan itu (bagi KDN menolak permohonan terbabit) ialah (ibu bapa) lewat mendaftar perkahwinan mereka (di Jabatan Pendaftaran Negara), tetapi itu tidak memberikan hak kepada KDN untuk menghalang anak terbabit dari mendapat status kewarganegaraan,” katanya.


Lo berkata antara kanak-kanak ditolak KDN permohonannya kerana alasan terbabit atau kerana telah lahir sebelum ibu bapa mendaftarkan perkahwinan mereka ialah Wennie Liaw Tze Shyan, 19, yang masih belum ada status kewarganegaraan seperti adiknya yang lain sehingga kini.

Berikutan itu Ling yang lahir di negeri ini bukan sahaja tidak dapat melanjutkan pelajaran malahan tidak dapat mencari pekerjaan bagi membantu ibu bapanya yang golongan kelainan upaya (OKU) kerana tidak dapat membuat kad pengenalan tanpa ada status warganegara.

Situasi sama juga sedang dihadapi Jong Zi Qing, 7, hanya kerana ibubapanya lewat dua minggu mendaftarkan perkahwinan mereka sebelum kelahirannya.

“Ibubapanya kemudian diminta membuat ujian darah bagi mengesahkan Jong anak mereka, tetapi selepas itu permohonan semula mereka tetap tidak diluluskan KDN,” kata Lo.

Disamping itu, beliau juga khuatir dengan tempoh yang dianggap terlalu lama bagi KDN memproses permohonan penduduk negeri ini bagi anak mereka diberikan status kewarganegaraan sehingga masalah status kewarganegaraan itu berlarutan ke generasi seterusnya.

Ini berlaku kepada Elisya Selly, 10, yang lahir ketika ibunya masih memohon mendapatkan status kewarganegaraan kerana datuknya telah berkahwin dengan neneknya yang warga asing.

“Ketika ini ibu dan neneknya sudah berjaya mendapat status kewarganegaraan, tetapi Elisya tiada status kewarganegaraan dalam sijil lahirnya kerana ketika lahir ibunya bukan warganegara dan masih memohon status terbabit dari KDN yang mengambil masa yang lama bagi diproses,” kata Lo.

Selain itu, berlaku juga kejadian Pegawai Daerah di negeri ini mengeluarkan sijil mengesahkan warga tempatan mengambil anak angkat secara sah tetapi KDN tidak mahu memberikan status kewarganegaraan kepada anak tersebut yang lahir di negeri ini kerana tiada nama ibu bapa sebenar anak terlibat pada sijil berkenaan.

Kata Lo ini berlaku kepada Liew Ye Siong, 10, dan ibubapa angkatnya sudah memohon pemberian status itu kepada anak angkat mereka sejak 2012 dan kini usaha itu diteruskan saudara mereka kerana bapa angkatnya sudah meninggal. — DayakDaily